Saturday, 14 April 2012

PERLEMBAGAAN PENGAKAP



PENGAKAP KANAK-KANAK (PKK)

                Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan salah satu badan beruniform (berpakaian seragam) yang giat bergerak di negara ini. Salah satu cabang dalam pergerakan ini ialah Pengakap Kanak-kanak. Pengakap Kanak-kanak mengandungi ahli-ahli yang berumur antara (8) lapan tahun hingga (12) dua belas tahun (murid-murid sekolah rendah)
               Pergerakan Pengakap Kanak-kanak menjadi salah satu gerakerja kumpulan yang memberi khidmat kepada sekolah dan masyarakat. Di bawah program KBSR Pergerakan Pengakap Kanak-kanak telah dipilih sebagai salah satu gerakerja kokurikulum yang diwajibkan di semua sekolah rendah. Ini disebabkan ianya didapati amat sesuai dijalankan oleh murid-murid pada peringkat ini.
               Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan satu cara didikan yang boleh dijalankan di dalam dan di luar sekolah. Aktiviti Pergerakan Pengakap Kanak-kanak mudah diikuti dan menarik minat murid-murid. Di samping itu, ia dapat menyemaikan sifat-sifat kepemimpinan, bekerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan mereka.


MATLAMAT PERGERAKAN PENGAKAP KANAK-KANAK
  • Mengembangkan kebolehan mental, minat, bakat serta perkembangan rohani dan jasmani;
  • Mengukuh dan memperkayakan pengalaman yang dipelajari di dalam bilik darjah;
  • Menyediakan mereka dalam proses penyesuaian bermasyarakat dengan cara memberi pengalaman untuk berhubung, bergaul dan bekerjasama;
  • Memaju dan mengembangkan minat, bakat dan kemahiran muri-murid dalam bidang-bidang tertentu;
  • Menyemai dan memupuk disiplin, nilai dan sikap positif di kalangan mereka selaras dengan hasrat Rukunegara;
  • Melatih murid mengisi masa lapang dengan gerakerja yang berfaedah di samping dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri mereka; dan
  • Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dan memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.
 
PERLEMBAGAAN PASUKAN PENGAKAP
Fasal 1 : Nama dan Alamat.
i. Persatuan ini adalah dikenali dengan nama PERTUBUHAN PENGAKAP KANAK-KANAK (PKK) SEKOLAH KEBANGSAAN TUNKU ISMAIL
ii. Alamat yang didaftarkan bagi persatuan ini adalah SEKOLAH KEBANGSAAN TUNKU ISMAIL, TAMAN INTAN, 08000 SUNGAI PETANI KEDAH.
Fasal 2 : Tujuan Persatuan
i.  Untuk melatih dan menonjolkan bakat kepimpinan.
ii. Untuk membantu program peningkatan kurikulum, motivasi dan mengurangkan masalah disiplin     murid.
iii. Memberi peluang murid mengambil bahagian secara aktif melalui aktiviti yang disediakan.
Fasal 3 : Keahlian
i.  Ahli persatuan ini adalah terdiri daripada murid-murid tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6).
ii.  Pemilihan ahli dibuat berdasarkan minat dan bakat pelajar pada awal tahun.
iii. Guru penasihat boleh mempengaruhi murid bagi tujuan menambah bilangan ahli persatuan.
Fasal 4 : Tanggungjawab dan Hak Ahli.
i.  Setiap ahli bertanggungjawab untuk menghadiri mesyuarat dan mengambil bahagian dalam     semua aktiviti persatuan.
ii. Setiap ahli juga berhak untuk bersuara, memilih dan dilantik memegang sebarang jawatan dalam     persatuan.
Fasal 5 : Mesyuarat.
i.  Satu mesyuarat agung perlu diadakan dalam perjumpaan pertama iaitu pada awal tahun untuk:
    - memilih ahli Jawatan Kuasa persatuan.
    - kewangan
    - ucapan penangguhan
    - cadangan-cadangan
ii.  Ahli Jawatan Kuasa adalah terdiri daripada:
    a. Pengerusi
    b. Setiausaha
    c. Bendahari
    d. Enam orang AJK (mewakili murid tahun 4, 5 dan 6)
iii. Mesyuarat AJK perlu diadakan dua kali setahun iaitu pada awal tahun dan pada akhir tahun     berkenaan.
iv. Mesyuarat kali pertama akan memberi tumpuan untuk merancang aktiviti tahunan persatuan.
v.  Korum-korum bagi mesyuarat agung hendaklah sebanyak 2/3 daripada jumlah keseluruhan ahli.
vi. Korum bagi mesyuarat AJK hendaklah sebanyak 2/3 daripada bilangan ahli-ahli jawatankuasa.
Fasal 6 : Tugas Pegawai Atau AJK Persatuan.
i.  Pengerusi         -    menjadi pengerusi mesyuarat, bertanggungjawab untuk memastikan segala                               mesyuarat dan aktiviti dijalankan mengikut perlembagaan.
ii. Setiausaha      -     menjalankan urusan persatuan mengikut perlembagaan, menyimpan minit dan
                              surat, menulis laporan mingguan, menyimpan segala rekod dan menyediakan                               laporan tahunan persatuan.
iii. Bendahari      -      bertanggungjawab dalam hal kutipan kewangan persatuan, apabila ada kutipan                               berlaku beliau perlu menyerahkan wang dan senarai nama ahli terlibat kepada Guru                               Penasihat.
Fasal 7 : Punca Kewangan / Pendapatan.
i.  Kewangan persatuan ini diperolehi melalui :
    a. wang SUWA (Kokurikulum).
    b. sumbangan PIBG.
    c. derma daripada ahli dan orang ramai.
ii.   Semua kutipan dan perbelanjaan wang untuk sebarang aktiviti persatuan perlu mendapat    kelulusan pihak pentadbir sekolah dan rekod perbelanjaan mesti disediakan.
Fasal 8 : Pindaan Perlembagaan Persatuan.
i.  Perlembagaan persatuan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan     mesyuarat agung.
ii. Perubahan atau pindaan itu hanya berkuatkuasa setelah mendapat persetujuan Guru Besar.
Fasal 9 : Tafsiran.
i.  Sekiranya timbul sesuatu yang tidak jelas mengenai tafsiran dalam perlembagaan ini, perkara itu  hendaklah dirujukkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa. Keputusan Jawatankuasa mengenai     perkara   itu adalah muktamad.
Fasal 10 : Pembubaran.
i.  Persatuan ini tidak boleh dibubarkan kecuali dengan persetujuan Guru Besar atau Pentadbir Sekolah.




Prinsip - Prinsip Pengakap


Prinsip-Prinsip:
  • Menghayati ketaatan kepada Tuhan;
  • Bertindak dan bertimbang rasa terhadap hak-hak asasi manusia serta mengelakkan diri daripada bersifat kejam;
  • Berkeyakinan menggunakan kebolehannya untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat di sekelilingnya.

Falsafah Dan Tujuan Pengakap


Falsafah Pengakap:
 
“ Pergerakan Pengakap mempunyai tujuan untuk memberi latihan kepemimpinan yang berasaskan Prinsip dan Undang-undang Pengakap ke arah mencapai nilai murni dan mengeratkan Persaudaraan Pengakap Antarabangsa tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan serta bersepadu dari segi in telek, rohani dan jasmani dengan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan ”.

Tujuan Pengakap:

Untuk melatih  dan menggalakkan perkembangan Rohani, Jasmani, Akal dan Pergaulan di kalangan generasi muda supaya berpeluang mengambil bahagian dalam Pembangunan Masyarakat untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab.

Panduan Menyediakan Buku Log


Saiz dan ketebalan
Saiz Buku Log yang sesuai adalah 21 cm x 32 cm dengan ketebalan 200 muka surat dan berkulit tebal. (200 Foolscap Book)


Kulit Luar (Cover)
Kulit luar buku amat penting dijaga agar ianya tahan lama dan tidak mudah rosak. Sebaiknya kulit buku tersebut dibalut dengan plastic (pvc book wrapper) agar tidak mudah binasa akibat basah.Logo bagi ujian atau lencana berkaitan boleh dilekatkan bagi memudahkan penulis serta pemeriksa membezakan buku-buku log yang ada mengikut isi kandungannya.

Halaman pertama

Halaman pertama merupakan halaman yang paling penting kerana di sinilah selalunya para pemeriksa dapat membuat pemerhatian umum dan mengagak kesungguhan penulis dalam menyediakan buku tersebut (First impression evaluation).

Sebaik-baiknya halaman pertama dimuatkan dengan maklumat peribadi penulis. Contoh maklumat adalah seperti berikut :

Maklumat Asas
Nama Penuh
No. Sijil Lahir / Kad Pengenalan
Tarikh dan Tempat Lahir
No. telefon / Telefon bimbit
Alamat e-mail / url
Alamat surat menyurat

Maklumat Kepengakapan
Tarikh Mula Berpengakap
Nama Sekawan / Patrol (terkini)
No. Kumpulan / Troop / Krew (terkini)
Nama dan alamat Sekolah (terkini)
Daerah (terkini)

Maklumat Waris dan Alamat Perhubungan
Alamat tetap
Nama Bapa dan pekerjaannya
No. telefon / Telefon bimbit
Nama Ibu dan Pekerjaannya
No. telefon / Telefon bimbit
Contoh halaman pertama buku log yang mengandungi maklumat peribadi penulis bagi buku log tersebut
Halaman kedua
Halaman kedua selalunya adalah lebih baik dimuatkan kandungan atau sukatan bagi ujian lencana (bagi buku log lencana). Ruangan untuk tandatangan pengesahan pemimpin beserta tarikhnya juga harus disediakan di tepi kanan setiap tajuk ujian yang disenaraikan.
Nota :
Di masa lepas, setiap Pengakap dibekalkan dengan 'Kad Ujian' (Laporan Kemajuan) mengandungi sukatan ujian serta ruangan tandatangan Pemimpin. Dan kad ini dilekatkan pada buku log.
Pada hari ini, Buku Log berfungsi sebagai 'Kad Ujian' bagi setiap ahli Pengakap.

Ruangan Catatan di setiap muka surat

Adalah dicadangkan agar ruangan selebar 1 – 2 inci disediakan di sebelah kanan setiap muka surat di dalam buku log. Ini adalah untuk memudahkan perkara-perkara berikut :
(1) Ruangan bagi komen, ulasan dan pengesahan pemeriksa buku.
(2) Pembetulan fakta yang perlu dibuat selepas selesai penulisan.
(3) Penambahan fakta

(jika tertinggal semasa menulis nota / fakta yang diperolehi sesudah penulisan nota)


Contoh kegunaan ruangan kosong di sebelah kanan setiap muka surat di dalam Buku Log.

Foto, lakaran dan sampel di dalam buku log

Penulis bebas untuk menggunakan foto, lakaran, lukisan mahupun sebarang bentuk ilustrasi untuk menyokong laporan ataupun nota di dalam buku log mereka. Namun, ianya haruslah tulen dan menggambarkan perkara sebenar mengikut skim ataupun berdasarkan pengalaman ataupun apa yang telah dilakukan oleh penulis.




Untuk tugasan tertentu contohnya di dalam Pengembaraan di mana ahli Pengakap diarahkan untuk mengumpulkan sampel tertentu seperti tumbuhan, serangga dan sebagainya, penulis buku log haruslah mempelajari teknik mengawet (sekiranya perlu) dan sampel boleh dilekatkan di dalam buku log mereka.



Lakaran ataupun lukisan sebaik-baiknya dilukis sendiri oleh penulis. Pemeriksa buku log tidak menilai atas cantik atau tidaknya sesebuah lukisan yang dibuat di dalam buku log,Apa yang lebih penting ialah penulis berupaya menyampaikan laporan serta nota dengan jelas hasil dari kerja tangan mereka sendiri.



Bentuk penulisan dan isi nota
Penulisan di dalam Buku Log haruslah benar, asli dan jelas. Penulis haruslah menggunakan ayat yang ringkas tetapi padat, tepat dan jelas. Elakkan penggunaan ayat yang panjang berjela-jela.



Apakah yang perlu dimuatkan di dalam Catatan peribadi?

Buku Log Catatan Peribadi lebih merupakan 'Profail' diri penulis secara keseluruhan.
Di dalam buku tersebut, antara bahan-bahan yang boleh dimuatkan adalah seperti berikut :
(1) Maklumat lengkap penglibatan dalam Pengakap
(2) Kursus-kursus yang telah dihadiri (beserta salinan sijil berkaitan)
(3) Ujian-ujian yang telah dilepasi (beserta salinan sijil berkaitan)
(4) Kemahiran khusus atau luar skim latihan yang dimiliki.


Kesimpulan
Apa yang dicatatkan di dalam Buku Log haruslah berbentuk laporan terhadap apa yang telah dilakukan oleh penulis dan bukannya SALINAN nota dari bahan rujukan lain. (Kecuali sesetengah nota yang berbentuk fakta seperti lagu kebangsaan, tugas dan fungsi jawatan-jawatan tertenu dan sebagainya).Buku Log adalah merupakan nadi kepengakapan seseorang ahli Pengakap. Ianya merupakan bukti kepada kesungguhan, komitmen serta penglibatan ahli dalam aktiviti, program dan ujian sepanjang mereka berpengakap.


Rukun Negara


BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :
  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
  • memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN